Sabtu, 5 Mac 2016

Parang Lading

Senjata rasmi yang digunakan oleh Silat Cekak Pusaka Hanafi ialah Parang Lading yang pada kebiasaannya sukar dijumpai di mana-mana tempat lain kecuali di negeri Kedah Darul Aman.

Parang lading biasanya digunakan secara meluas oleh para penduduk terutamanya petani di negeri Kedah dalam melakukan kerja-kerja harian. Disebabkan kaitan Parang Lading ini dengan penduduk Kedah amat kuat, maka boleh dikatakan bahawa penggunaan Parang Lading didalam Silat Cekak Pusaka Hanafi ini secara tidak langsung menjadi bukti bahawa silat ini berasal dari negeri Kedah.

Sebagai suatu senjata, sudah tentu rupa bentuk Parang Lading yang digunakan oleh Silat Cekak Pusaka Hanafi terdapat perbezaan yang ketara berbanding parang lading yang biasa digunakan untuk kegiatan harian. 

Antaranya adalah Parang Lading yang ada dalam Silat Cekak Pusaka Hanafi ini mempunyai ukuran yang tertentu bagi membolehkan ianya sesuai digunakan oleh si pemakainya.


Antara ukuran-ukurannya adalah seperti berikut:
  • Panjang parang ini adalah sama dengan jarak dari telinga kiri ke mata kanan atau dari telinga kanan ke mata kiri si pemakai. Falsafahnya: Setiap apa yang terlihat dan terdengar pasti kena.
  • Lebar parang di sebelah hulu adalah sama dengan lebar kuku ibu jari si pemakai.
  • Lebar di sebelah hujung parang adalah sama dengan panjang ibu jari pemakai.
  • Panjang mata parang pula adalah sama dengan jarak diantara dua mata si pemakai.
  • Hulu parang ini mengambil bentuk tapak kijang dan diperbuat dari tanduk kerbau betina.

Lentik Parang Lading dalam Silat Cekak juga juga berbeza dengan mengambil lentik Pelepah Kelapa berbanding lentik Pelepah Pisang yang biasa dijumpai.

Penggunaan Parang Lading oleh pengamal Silat Cekak Pusaka Hanafi adalah semata-mata bagi tujuan untuk mempertahankan diri dari serangan pelbagai serangan.

Kedudukan mata Parang Lading adalah tersorok di belakang tangan pengamal ataupun tersorok di dalam lengan baju seperti diamalkan oleh panglima-panglima Silat Cekak suatu masa dahulu. Teknik penggunaan Parang Lading ini tidak jauh bezanya dengan kaedah-kaedah Silat Cekak Pusaka Hanafi yang sedia ada.

Di dalam Silat Cekak Pusaka Hanafi, Parang Lading dianugerahkan oleh Guru Utama kepada ahli-ahli yang berjasa dalam membantu memperkembangkan pergerakan Silat Cekak Pusaka Hanafi. 

Pada kebiasaannya apabila seseorang itu dianugerahkan senjata ini, ukuran penerima Parang Lading itu akan diambil sendiri oleh Guru Utama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan