Shah Alam, 11 Disember - Satu program berbentuk kursus untuk semua Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi Selangor yang telah sekian lama direncanakan, telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Dewan Annex, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selangor Kampus Shah Alam.
Program ini menghimpunkan seramai 165 orang Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi di negeri Selangor (yang terdiri daripada Penyelia, Jurulatih. Pembantu Jurulatih, Pembantu Jurulatih Percubaan) adalah bertujuan untuk menyelaras serta memantapkan lagi cara penyampaian Silat Cekak Pusaka Hanafi di setiap kelas Silat Cekak Pusaka Hanafi di negeri Selangor.
Program yang dibahagikan kepada sesi pagi, petang dan malam itu dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan taklimat oleh Encik Zamri bin Hasan selaku Setiausaha Majlis Perguruan dan Persilatan (MPP) Silat Cekak Pusaka Hanafi, yang menceritakan dengan lebih mendalam pentingnya peranan seseorang tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi dalam menyampaikan ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi ini kepada masyarakat.
Majlis sebelah pagi seterusnya diserikan lagi dengan sesi Berkongsi Pengalaman yang disampaikan oleh Encik Mohd Azhar bin Ali yang merupakan Naib Presiden Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia.
Sesi pagi diteruskan dengan praktikal buah silat yang dikendalikan oleh Encik Poizi bin Nawi dan Encik Roslan bin Safar selaku Ahli Majlis Perguruan dan Persilatan (MPP) Silat Cekak Pusaka Hanafi. Sesi praktikal buah silat ini membawa sehingga ke sesi petang.
Program seterusnya disambung semula pada pukul 8.30 malam dengan sesi Berkongsi Pengalaman oleh Encik Abdil Hakim bin Ahmadun yang juga merupakan Penasihat Kehormat Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia.
Program berakhir lebih kurang pada jam 11.00 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan