Ahad, 24 April 2016

Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Selangor

Serdang, 23 April - Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Selangor (PSSCPUH Selangor) telah melakarkan satu lembaran baru dengan mengadakan Mersyuarat Agung Pertama persatuan tersebut di Kompleks Akademik E, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Program yang bermula jam 2.00 petang itu dihadiri oleh sekurang-kurangnya 50 orang ahli persatuan yang berdaftar, telah dirasmikan oleh Tuan Haji Aminudin bin Dahlan selaku Setiausaha Agung yang juga wakil rasmi Majlis Eksekutif Kebangsaan Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Selangor ini adalah merupakan satu langkah baru yang diambil dalam menyusun semula serta memantapkan lagi pentadbiran Silat Cekak Pusaka Hanafi di Negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang mana pada sebelumnya, pentadbiran Silat Cekak Pusaka Hanafi bagi Kuala Lumpur dan Negeri Selangor digerakkan melalui jentera Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Selangor dan Kuala Lumpur.

Mesyuarat Agung PSSCPUH Selangor kali pertama ini juga turut menyaksikan jawatan Pengerusi Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Selangor disandang oleh Sr. Roslan bin Manap. Dalam ucapannya sejurus selepas diangkat sebagai Pengerusi, beliau telah menyatakan komitmen untuk mempergiatkan lagi usaha mengembangkan Silat Cekak Pusaka Hanafi di Negeri Selangor serta memperhalusi lagi perkara-perkara yang melibatkan kebajikan Ahli-ahli serta Persatuan.

Selain jawatan Pengerusi, turut dilantik adalah 6 orang ahli sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan, beserta dengan 2 orang Juruaudit Dalaman untuk mentadbir Persatuan bagi sesi 2016/2018.

Mesyuarat Agung Pertama ini diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan kira-kira jam 4.30 petang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan