Ahad, 21 Ogos 2016

Istiadat Konvokesyen Silat Cekak Pusaka Hanafi 2016

Shah Alam, 20 Ogos - Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia telah mengadakan Istiadat Konvokesyen Silat Cekak Pusaka Hanafi 2016 bertempat UiTM Selangor Kampus Shah Alam.

Istiadat gilang gemilang yang dilaksanakan di dalam Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam itu turut menyaksikan lebih daripada 1000 orang ahli Silat Cekak Pusaka Hanafi dianugerahkan dengan Kalung Seri Utama, Pingat Setia Abadi, Pingat Jasa Bakti, Sijil Menengah Persilatan, serta Sijil Rendah Persilatan oleh Pewaris Mutlak Silat Cekak, YM Syeikh DR Haji Md Radzi bin Haji Hanafi.

Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi dan dirasmikan oleh Profesor Madya Dr Sofian bin Bujang selaku wakil rasmi kepada YB Dato' Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysa. Profesor Madya Dr Sofian bin Bujang juga turut diberikan penghormatan bagi memakaikan kalung dan pingat kepada semua penerima anugerah Kalung Seri Utama dan Pingat Setia Abadi pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen tersebut.

Majlis diteruskan dengan Sidang ke 2 Istiadat Konvokesyen bagi penyampaian anugerah Pingat Jasa Bakti dan Sijil Menengah Persilatan Silat Cekak Pusaka Hanafi oleh Pewaris Mutlak Silat Cekak sebut berhenti rehat makan tengahari.

Sidang ke 3 Istiadat Konvokesyen bermula pada jam 2 petang adalah bagi penyampaian Sijil Rendah Persilatan kepada ahli-ahli Silat Cekak Pusaka Hanafi yang telah berjaya menduduki Ujian Sijil Rendah Persilatan Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Istiadat Konvokesyen Silat Cekak Pusaka Hanafi 2016 ini berakhir lebih kurang pada jam 4 petang, dan diteruskan dengan sesi bergambar sebelum semua hadirin yang terlibat pulang ke destinasi masing-masing.

Tahniah kepada semua yang terlibat!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan